Khidmat kontraktor bina Kompleks PERYATIM Sibu ditamat

SIBU, 10 Jul 2013: Khidmat kontraktor yang terlibat dalam pembinaan Kompleks Pertubuhan Kebajikan Anak-anak Yatim Sarawak (PERYATIM) Sibu telah ditamatkan kerana gagal menyiapkan projek dalam masa yang ditetapkan.

LANCAR: Daud (dua kiri) mengucapkan terima kasih kepada Salimah Umar daripada Yasmin Butik sambil diperhatikan oleh Dr Annuar selepas melancarkan Tabung Derma PERYATIM di Sibu semalam.

Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam) Datuk Daud Abdul Rahman berkata, kontraktor terbabit telah diberikan peringatan sebanyak 10 kali bagi mempercepatkan pembinaan kompleks yang berharga RM11 juta itu.

“Mereka telah berjanji dengan kita banyak kali, termasuk pada tahun lalu bagi menyiapkan projek.

“Namun, mereka masih tidak dapat menyiapkan projek terbabit.

“Kita tidak mempunyai pilihan selain menamatkan kontrak serta mengenakan denda kepada kontraktor terbabit. Projek ini sepatutnya siap tahun lalu,” katanya selepas melancarkan Tabung Derma PERYATIM Cawangan Sibu, semalam.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka Dr Annuar Rapa’ee serta yang lain.

Menurut Daud, projek kini diambil alih oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) dan akan melantik subkontraktor yang baharu bagi menyiapkan projek.

“Kelewatan ini menjejaskan perancangan kita bagi membawa masuk anak-anak yatim sebelum Januari 2014.

“Kita berharap projek dapat disiapkan pada Oktober ini,” jelasnya.

Daud juga memberitahu bahawa pihaknya akan memastikan dana mencukupi bagi membolehkan projek disiapkan dengan lancar.

Ditanya mengenai punca kelewatan projek itu disiapkan, Daud berkata ia mungkin disebabkan ketidakcekapan atau sikap sambil lewa kontraktor terbabit.

Beliau yang baharu tiba dari Bintulu juga memberitahu, projek Kompleks PERYATIM Bintulu turut mengalami kelewatan.

“Kita amat kesal dengan kelewatan ini dan daripada apa yang kita lihat, projek ini mungkin dapat disiapkan seawal-awalnya pada bulan Januari atau Februari tahun depan.

“Projek sepatutnya siap pada Jun ini, namun kini terlewat enam ke tujuh bulan,” katanya.

Sumber : Utusan Borneo